Pengenalan
Salah satu cerita lisan yang masih mentradisi di kalangan masyarakat
Melayu Bengkalis, Riau adalah kisah ikan Terubuk. Kisah ini terabadikan
dalam bentuk syair dengan 285 rangkaian bait yang lebih dikenal dengan
Syair Ikan Terubuk. Rangkaian bait syair ini telah diterbitkan sekitar
dua puluh versi, salah satunya ditulis oleh Ulul Azmi.
Rangkaian syair ini menceritakan perjuangan ikan Terubuk, salah satu
jenis ikan yang menjadi pemimpin kerajaan laut dengan daerah kekuasaan
meliputi beberapa selat, untuk mendapatkan putri nan cantik jelita
bernama Puyu-Puyu dari kerajaan air tawar. Untuk mendapatkan putri
Puyu-Puyu, ia pun mengerahkan bala pasukan yang dimilikinya untuk
menerobos masuk ke kerajaan air tawar. Namun mujur tak dapat diraih,
malang tak dapat ditolak, pasukan Terubuk terjerat jaring nelayan.
Melalui buku ini, Ulul Azmi menunjukkan bahawa syair ikan Terubuk
merupakan karya sastra sarat makna dan bernilai tinggi yang mempunyai
pengaruh cukup signifikan terhadap kehidupan masyarakat Bengkalis,
khususnya di laut muara sungai Siak, Riau. Di samping itu, Azmi juga
menunjukkan bahwa karya sastra yang diciptakan pada abad ke-19 ini
dibuat oleh seorang penyair yang memiliki pengetahuan luas mengenai
kehidupan di dalam air, baik air asin maupun air tawar.
Secara politik, rangkaian Syair Ikan Terubuk menggambarkan ambisi yang
gagal dari penguasa lautan, ikan Terubuk, untuk menguasai daerah
pedalaman, putri Puyu-Puyu. Jika ditarik pada konteks awal keberadaan
syair tersebut, kita akan mengetahui bahwa Syair Ikan Terubuk
menceritakan ambisi dari negeri pantai di wilayah Semenanjung Melayu,
yang diwakili oleh Sultan Mahmud dari Melaka, untuk menaklukan
negeri-negeri di daerah pedalaman, seperti Pagarruyung, Minangkabau dan
negeri-negeri agraris lainnya.
Menurut Overbeck, syair jenis ini biasanya mengandungi sindiran terhadap
peristiwa tertentu. Syair Ikan Terubuk dengan Puyu-puyu misalnya
menyindir peristiwa peminangan seorang anak Melaka terhadap puteri Siak
yang tidak berhasil. Syair ini mungkin diilhami oleh pelanggaran Melaka
terhadap Siak. Syair Ikan Terubuk dengan Puyu-puyu ini berdasarkan
naskhah v.d. Wall 242 di Jakarta.
Syair Ikan Terubuk adalah sebuah kumpulan syair Melayu yang diciptakan
pada abad ke-19, berupa media lisan tanpa diketahui siapa penciptanya.
Terdiri dari 285 bait, karya besar ini membentangkan kehidupan habitat
ikan didalam air, baik air laut maupun air tawar secara lengkap.
Uniknya, Syair Ikan Terubuk menjadi sangkakala mantra dalam upacara
Semah Laut di Bengkalis, iaitu sebuah upacara mengundang ikan-ikan
terubuk melalui cara supernatural, yang dilakukan secara turun-temurun.
Kisah dua kerajaan yang memerintah di persekitaran kawasan kerajaan air
masin dan air tawar. Kerajaan air masin diwakili oleh ikan terubuk
manakala kerajaan air tawar diwakili oleh ikan puyu-puyu. Ikan terubuk
dikatakan seolah-oleh ikan puaka yang berasal dari laut di Melaka.
Perkataan “puaka” boleh dikaitkan dengan ancaman musuh dan perseteruan.
Ikan terubuk sangat meminati ikan puyu-puyu. Namun ikan puyu-puyu tidak
sedikitpun menyukai ikan terubuk. Ini dapat dilihat pada rangkap 2 dan
3;
Mula dikarang ikan terubuk,
Lalai memandang ikan di lubuk,
Hari dan jantung bagai serbuk,
Laksana kayu dimakan bubuk.
Asal terubuk ikan puaka,
Tempatnya konon di laut Melaka,
Siang dan malam berhati duka,
Sedikit tidak menaruh suka.
Dendam rindu inginkan ikan puyu-puyu sangat mendalam dan terubuk sering
merindu siang dan malam. Lalu terubuk sering menyeru dan memuja
puyu-puyu.Sebagaimana rangkap ke 4 dan 5;
Pagi petang duduk bercinta,
Berendam dengan airnya mata,
Kalbunya tidak menderita,
Kerana mendengar khabar berita.
Pertama mula terubuk merayu,
Berbunyilah guruh mendayu-dayu,
Senantiasa berhati sayu,
Terkenangkan puteri ikan puyu-puyu.
Dikatakan bahawa ikan puyu-puyu itu sangat cantik dan sangat berbudi bahasa. Ini dapat dilihat pada rangkap 6;
Puteri Puyu-puyu konon namanya,
Di dalam kolam konon tempatnya,
Cantik mejelis barang lakunya,
Patutlah dengan budi bahasanya.
Asal puyu-puyu dikatakan di Tanjung Padang. Ada pendapat mengatakan
kawasan ini adalah di Pagar Ruyung Minangkabau di pulau Sumatera.
Diceritakan juga gambaran rupa paras tuan puteri yang menyerupa
puyu-puyu. Terubuk sangat tertarik dan sering memerhati keayuan wajah
puyu-puyu;
Kolamnya konon di Tanjung Padang,
Di sanalah tempat Terubuk bertandang,
Pinggangnya ramping dadanya bidang,
Hancurlah hati terubuk memandang.
Asal usul puyu dikatakan keturunan raja. Dikatakan dia mempunyai
keupayaan memuja dan berdoa. Sebarang pinta dan doanya akan dimakbulkan
demi mengelakkan ancaman terubuk.
Rangkap 10;
Setelah hari hampirkan senja,
Puteri bersiap hendak memuja,
Jika sungguh asalku raja,
Disampaikan Allah barang disaja.
Rangkap 13;
Selang tidak berapa antara,
Turunlah ribut dengan segera,
Kilat dan petir tidak terkira,
Datuk nenek turun dari udara.
Puyu-puyu mendapat pertolongan berkat doanya yang telah dimakbulkan.
Pertolongan tersebut telah menyelamatkan dirinya daripada ancaman
terubuk yang sangat inginkan dirinya. Lalu dengan berkat datuk neneknya,
maka datanglah pertolongan. Pertolongan telah datang dengan kewujudan
sepohon pokok pulai yang rendang. Puyu dapat melompat keluar daripada
kolam ke pucuk batang pulai. Maka terselamatlah puyu daripada ikan
terubuk. Dapat dibuktikan pada rangkap ke 14 da 15,
Rangkap 14;
Membawa sepohon batangnya pulai,
Datangnya dari Tanjung Balai,
Eloknya tidaklah ternilai,
Puteri melihat hairan terlalai.
Rangkap 15;
Pulainya rendang dengan rampaknya,
Di tengah kolah terdiri dianya,
Sampailah waktu dengan janjinya,
Puteri melompat ke atas pucuknya.
Kehilangan puyu-puyu telah sampai kepada pengetahuan terubuk. Berita
kehilangannya telah menyebabkan tuanku bersedih dan mengarahkan supaya
segera mencari puyu-puyu. Hajat terubuk ingin bertemu puyu-puyu tidak
kesampaian lalu kembalilah terubuk ke laut semula dalam keadaan kecewa
sebagaimana rangkap 21;
Terubuk berenang lalu ke laut,
Sekalian ikan ramai yang mengikut,
Hati di di dalam terlalu kusut,
Bagaikan datang rasanya takut.
Maksud Syair
Rangkap 1:
Syair ini dimulakan dengan bacaan bismilah sebagai pembuka cerita dan
seterusnya diikuti dengan memuji kebesaran Allah pentadbir sekalian alam
semestayang sentiasa member rahmat siang dan malam kepada setiap umat
Islam.
Rangkap 2:
Syair ini menceritakan tentang ikan terubuk yang tidak menghiraukan
keadaan sekeliling(kawasan pemerintahannya) kerana bersedih .
Rangkap 3:
Sebenarnya ikan terubuk adalah ikan yang dianggap berhantu dan berasal
dari laut Melaka. Ikan terubuk berada dalam kesedihan setiap waktu
sehingga tidak ada keceriaan dihatinya.
Rangkap 4:
Ikan terubuk sentiasa termenung dan bermuram dalam kesedihan kerana
perasaanya resah gelisah apabila mengetahui adanya puteri yang cantik
jelita.
Rangkap 5:
Kisahnya bermula apabila ikan terubuk yang cuba memujuk rayu puteri ikan
puyu-puyu, sehingga menyebabkan ikan terubuk sentiasa terkenangkannya.
Rangkap 6:
Puteri tersebut dikenali sebagai Puteri puyu-puyu yang tinggal di dalam
sebuah kolam (air tawar) Memiliki rupa paras yang cantik, tingkah laku
yang baik serta bersopan-santun.
Rangkap 7:
Tempat tinggal sang puteri di Tanjung Padang. Pada suatu ketika ikan
terubuk datang menziarahinya lalu jatuh cinta kerana kecantikan fizikal
yang dimiliki oleh puteri ikan puyu-puyu.
Rangkap 8:
Ikan terubuk mulai terkenang puteri puyu-puyu dari jauh hingga tidak
terkata. Perasaannya diselubungi resah sehingga tidak keruan(tidak tentu
arah jadinya)
Rangkap 9:
Perasaan sedih kerana terkenangkan puteri puyu-puyu yang tidak
menerimanya menyebabkan ikan terubuk (golongan bangsawan) pulang ke
tempat asalnya di Tanjung Tuan. Siang dan malam ikan terubuk teringatkan
tuan puteri.
Rangkap 10:
Apabila menjelang waktu senja(petang) tuan puteri berdoa, sekiranya dia
dari keturunan raja yang berdaulat muga Allah akan memakbulkan segala
pemintaannya.
Rangkap 11:
Upacara berdoa tersebut dimulai dengan tuan puteri mandi berlimau
membersihkan diri, seterusnya ke tempat beribadat. Tuan puteri berdoa
sehingga waktu dinihari(subuh).
Rangkap 12:
Doa tuan puteri dimulai dengan puji dan puja kepada Allah. Tuan puteri
merintih akan nasib dirinya, dia juga bermohon untuk mendapat restu dari
keturunannya agar doanya diperkenankan.
Rangkap 13:
Tidak lama kemudian, suasana berubah, ribut , kilat dan petir sabung menyabung lalu turunlah nenek moyangnya dari kayangan.
Rangkap 14:
Mereka membawa sepohon pokok pulai yang dibawa dari Tanjung Balai. Pokok
pulai itu sangat cantik apabila tuan puteri menyaksikannya timbullah
rasa kagum.
Rangkap 15:
Pokok pulai itu sangat rending dengan banyak dahannya. Pokok pulai itu
diletakkan ditengah-tengah kolah, apabila sampai waktu yang telah
ditetapkan tuan puteri telah melompat ke atas pucuknya.
Rangkap 16:
Dengan restu para wali (orang suci) tuan puteri tidak dapat
berkata-kata, belumpun sempat berlaku apa-apa tuan puteri sudah tidak
kelihatan lagi.
Rangkap 17:
Ikan belida bersungguh-sungguh memaklumkan tentang kejadian tersebut di
mana tuan puteri telah naik ke langit bersama dengan bala tenteranya.
Rangkap 18:
Ikan pari telah datang mengadap Duli Baginda Seripada (ikan terubuk)
memaklumkan tentang berita kehilangan tuan puteri puyu-puyu.
Rangkap 19:
Ikan pari memaklumkan bahawa berita kehilangan tuan puteri naik ke udara
datangnya daripada ikan belida. Dia berharap berita tersebut tidak akan
menimbulkan keresahan kepada ikan terubuk. Lalu dia mempersilakan ikan
terubuk ke laut Negara.
Rangkap 20:
Apabila Raja Seripada mendengar berita tersebut dia berasa sangat sedih
hingga menyebabkannya menitiskan air mata. Beliau berasa harapannya
hampa kerana belum dia sempat dia bertemu tuan puteri, tuan puteri telah
menghilangkan diri.
Rangkap 21:
Ikan terubuk terus berenang ke lautan luas bersama dengan bala
tenteranya, perasaannya diselubungi rasa serba salah sehingga timbul
rasa takut(tidak berjumpa dengan tuan puteri) didalam hatinya .
Rangkap 22:
Raja Seripada diselubungi rasa sedih kerana kehilangan tuan puteri yang dikasihinya. Begitulah nasib yang terpaksa dihadapinya.
Rangkap 23:
Perasaan Raja Seripada terus dibayangi rasa sedih yang berpanjangan akibat kehilangan tuan puteri.
Rangkap 24:
Raja Seripada kembali semula ke tempat asalnya , perasaan sedih yang
teramat sangat kerana hasrat hatinya untuk mendapatkan tuan puteri tidak
kesampaian perasaan sedihnya itu bersemandi di dalam kalbunya.
Sinopsis Syair
Syair simbolik/kiasan ini menceritakan tentang ikan terubuk yang berasal
dari Tanjung Tuan di laut Melaka(Kerajaan air masin laut) telah jatuh
cinta pandang pertama dengan tuan puteri ikan puyu-puyu yang berasal
dari Tanjung Pandang (kerajaan air tawar). Ikan terubuk yang digelar
sebagai Duli Seripada sentiasa terkenang akan tuan puteri ikan puyu-puyu
yang cantik rupawan dan baik tingkahlaku serta bersopan-santun.
Namun begitu, tuan puteri ikan puyu-puyu menolak hasrat hati ikan
terubuk, menyebabkan ikan terubuk pulang ke Tanjung Tuan membawa hati
yang lara. Tuan Puteri puyu-puyu tidak berminat dengan ikan terubuk lalu
dia berdoa kepada tuhan agar diberi jalan untuk tidak bersama dengan
ikan terubuk. Lalu berlakulah peristiwa aneh, angin ribut berserta kilat
dan petir sabung-menyabung dan akhirnya sebatang pokok pulai tumbuh
ditengah kolah puteri puyu-puyu. Tuan puteri puyu-puyu telah melompat ke
atas pucuk pokok pulai dan hilang lenyap diudara.
Berita kehilangan puteri puyu-puyu di udara bersama dengan bala
tenteranya telah disampaikan oleh ikan belida kepada ikan pari. Berita
tersebut telah dipanjangkan pula kepada ikan terubuk yang digelar
sebagai Duli Seripada. Apabila mendengarnya, dia berasa amat sedih
kerana hasratnya untuk memiliki tuan puteri puyu-puyu tidak kesampaian.
Ikan terubuk dan bala tenteranya terus pergi mencari di lautan luas,
namun segala usahanya sia-sia sahaja kerana tuan puteri puyu-puyu sudah
tiada. Ikan terubuk akhirnya mengambil keputusan untuk kembali ke tempat
aslanya dengan kecewa kerana hasratnya untuk memiliki tuan puteri
puyu-puyu tidak kesampaian.
Aspek Estetika Sastera
Tema
Bertemakan kegagalan dalam percintaan berpunca dari perbezaan status .
Persoalan
Persoalan percintaan .
Percintaan yang melibatkan perbezaan status / darjat yang membawa kepada
kegagalan dalam percintaan tersebut. Percintaan yang melibatkan ikan
terubuk yang berasal dari kerajaan air masin dengan puteri ikan
puyu-puyu dari kerajaan air tawar.
Persoalan Pengharapan pada yang Esa
Segala harapan hendaklah disandarkan kepada yang Maha Esa, Puteri ikan
puyu-puyu berdoa kepada Allah agar dia tidak dipertemukan dengan Ikan
teubuk.
Persoalan tentang kerinduan
Kerinduan terhadap kekasih yang jauh terpisah hingga menyebabkan
perasaan jadi resah dan gelisah.Ikan Terubuk yang sentiasa terkenangkan
puteri ikan puyu-puyu sehingga menyebabkannya sedih dan gelisah.
Persoalan tentang kedaulatan. (keluarga raja)
Keturunan diraja mempunyai kedaulatan mereka yang tersendiri, Puteri
ikan puyu-puyuberkata jika dia dari keturunan yang berdaulat barang
diminta barang jadi. Terbukti apabila dia meminta agar tidak
dipertemukan dengan ikan terubuk, maka berlaku perkara aneh pokok pulai
muncul di tengah kolah dan akhirnya dia melompat ke atas pucuk pokok
pulai dan akhirnya hilang.
Persoalan tentang kejadian luar biasa / aneh
Golongan bangsawan sering dikaitkan dengan kejadian luar biasa apabila
berdepan dengan sesuatu keadaan. Contohnya apabila Tuan Puteri puyu-puyu
menyeru nenek moyangnya, maka berlakulah kejadian ribut diikuti dengan
kilat dan petir menunjukkan tuan puteri seorang yang berdaulat.
Persoalan tentang kecantikan golongan bangsawan.
Golongan bangsawan sering digambarkan memiliki wajah yang cantik ,
contohnya tuan puteri puyu-puyu dikatakan memiliki wajah yang cantik,
Cantik mejelis barang lakunya.
Persoalan keelokkan tingkah laku golongan bangsawan
Golongan bangsawan seringkali dikatakan mempunyai ketinggian budi
perkerti hingga memikat hati orang yang melihatnya.Contohnya Tuan Puteri
puyu-puyu dikatakan tingkah laku yang baik.
Persoalan tentang kekecewaan
Apabila berdepan dengan kegagalan dalam percintaan, perasaan putus asa
dan kecewa sering menghantui diri. Contohnya ikan terubuk yang gagal
dalam percintaannya dengan puteri puyu-puyu sering termenung dan berada
dalam gungah gulana.
Pemikiran Masyarakat Dalam Karya Sastera
Perbezaan darjat/keturunan
Boleh membawa kegagalan dalam percintaan sebagaimana yang berlaku ke
atas ikan terubuk yang gagal memiliki cinta puteri puyu-puyu kerana
berbeza dari segi darjat, ini kerana ikan terubuk berasal dari kerajaan
laut manakala puteri puyu-puyu dari kerajaan air tawar.
Keagungan tuhan
Dalam sebarang urusan yang hendak dilakukan , keizinan dari tuhan
hendaklah dipohon bagi memudahkan sebarang kerja yang hendak
dilakukan. Sebagaimana yang dilakukan oleh Puteri puyu-puyu yang
bermohon dari tuhan untuk memudahkan urusannya menolak ikan terubuk.
Konsep daulat.
Daulat merupakan kekuasaan yang dimiliki oleh seseorang pemerintah atau
raja yang mana akan membolehkan seseorang pemerintah atau raja yang
berdaulat dapat apa yang dihajatinya. terbukti apabila Puteri Puyu-puyu
mendapat apa yang dihajatinya iaitu tumbuhnya pokok pulai yang digunakan
untuk menghilangkan diri.
Kejadian luar biasa.
Kejadian aneh yang berlaku yang dikaitkan dengan kedaulatan seseorang
pemerintah . Pemerintah atau raja yang berdaulat sering akan berlakunya
kejadian aneh. Dalam syair ikan terubuk kejadian aneh yang berlaku
ialah ribut, kilat dan petir sabung-menyabung menandakan kedaulatan
seseorang raja.
Nilai Dalam Karya
Nilai kemanusiaan:
i. Nilai kasih sayang
ii. Keberanian
iii. Kegigihan
iv. Keyakinan
Nilai kemasyarakatan
i. Kerjasama
ii. Kesetiaan kepada pemerintah
Kepercayaan
i. Kepercayaan tentang ikan terubuk adalah ikan yang memiliki roh jahat.
ii. Kepercayaan terhadap kejadian luar biasa
Keagamaan
i. Memuliakan Tuhan sebagai pentadbir alam
ii. Limpahan rahmat untuk semua makhluk.